Wednesday, July 27, 2011

alim-jahil




Punca bagi segala maksiat, kelalaian dan syahwat ialah redha dengan diri. Manakala punca segala ketaatan, berjaga-jaga dan memelihara pekerjaan yang diperintahkan ialah tidak redha terhadap diri.


Oleh kerana inilah, bersahabat dengan orang jahil yang tidak mengikut hawa nafsunya lebih baik dan banyak kebaikannya daripada bersahabat dengan orang alim yang mengikut nafsunya dan redha akan dirinya.


Maka orang jahil yang tidak sukakan dirinya dan tidak mengikut nafsunya, hakikatnya adalah alim. Manakala orang alim yang mengikut nafsunya dan redha terhadap dirinya, hakikatnya adalah jahil.

-petikan dari Kehalusan Anugerah-syarah Hikam Abi Madyan.



moga dapat manfaat.


Saturday, July 16, 2011

ahli bijak pandai.

KALAM HIKMAH 56

"Barangsiapa berpaling daripada bangkangan, maka dia adalah hakim (ahli bijak pandai) yang beradab dengan Tuhannya."


*****


Seseorang itu berpaling daripada membangkang Tuhannya disebabkan kesempurnaan Syuhud Tauhidnya, dan melihat Allah dengan nur basirahnya pada setiap sesuatu.Barangsiapa memandang dengan pandangan sedemikian maka dia adalah ahli cerdik pandai yang beradab dengan Tuhannya.



Barangsiapameminum dengan minuman ini, maka dia akan merasa puas kerana kejernihan dan kemanisan minuman tersebut. Barangsiapa berkelakuan seperti ini, maka tetaplah matanya melihat Tuhannya dan memandang kelembutan dan kasih sayang Tuhannya ketika senang dan memandang kekuatan dan kegagahan Tuhannya ketika susah.



Ketika itu, segala kepahitan dirasakan manis kerana mendapat faedah yang amat banyak dan indah di dalamnya. Jika Allah memberi, dia melihat dalam pemberianNya itu kebaikanNya. Jika Allah menegah, dia melihat dalam tegahanNya itu keperkasaan Allah. Dalam kedua-dua hal ini, dia memandang kepada Allah, di samping mengharapkan kelembutan Allah.



Barangsiapa berkeadaan seperti ini, maka sama padanya suka atau duka, susah atau senang, suruhan atau laranganNya. Ketika itu, jadilah dia orang yang berkuasa pada setiap tempat, mempuanyai kaum kerabat dan keluarga pada setiap masa, kaya dengan ketiadaan wang dan ringgit, mempunya kerajaan dengan ketiadaan menteri dan tentera dan seluruh manusia menjadi kawannya.


-petikan dari Kehalusan Anugerah-syarah Hikam Abi Madyan.